Batik Linut Sdn Bhd Kini Miliki Pejabat Utama, Galeri Di Miri

SABTU, 9 JULAI 2022

MIRI: Bandaraya Miri dipilih sebagai tapak untuk pejabat utama dan galeri bagi produk inovatif Sarawak iaitu Batik Linut yang juga merupakan batik pertama Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemilihan Miri sebagai tapak pelancaran produk batik itu adalah langkah tepat dan strategik untuk mendedahkannya.

“Bandaraya Miri ini terkenal sebagai bandar pelancongan dan ini akan membantu dalam mempromosikan batik linut Sarawak kepada masyarakat terutama sekali kepada para pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya semasa majlis perasmian Pembukaan Pejabat dan Galeri Batik Linut di sini pada Khamis.

Dato Sri Fatimah dalam pada itu turut menzahirkan rasa kagum dengan kreativiti pembuatan batik yang memanfaatkan penggunaan sagu oleh usahawan Mukah Diana Ross yang menambah nilai kepada penggunaan tradisional sagu sebagai makanan masyarakat Melanau dalam pembuatan produk batik yang cantik dan berkualiti.

Ujar beliau, kemampuan dan kreativiti Diana boleh dijadikan inspirasi untuk merealisasikan impiannya mengetengahkan batik linut ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Diana turut memaklumkan bahawa sebuah pejabat juga akan dibuka di Kuching dan Nilai, Negeri Sembilan sebelum menerokai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) memandangkan maklum balas pasaran amat menggalakkan sejak ia dilancarkan pada November 2021.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Datuk Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, Penasihat Persatuan Atelier Negeri Sarawak Datin Dayang Mariani Abang Zain, Dr. Anna Sue dan Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah.-EDISI UKAS

add comment