SABTU, 9 JULAI 2022
BINTULU: Sebanyak 67 biji telur penyu spesis Penyu Agar berjaya dialihkan ke tapak pengeraman di Taman Negara Samalaju (SNP) dari Golden Beach.
Ini merupakan kali pertama penyu dijumpai bertelur di Golden Beach sejak lebih 20 tahun lalu.
Penemuan 67 biji telur tersebut semasa lawatan rombongan Program D’Drift 2022 ke Taman Negara Samalaju (SNP) yang disertai oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA), Sarawak Tourism Board (STB), DayakDaily dan TVS serta warga Sarawak Forestry Corporation (SFC) Wilayah Bintulu pada Khamis.
Lawatan tersebut bertujuan mempromosikan taman-taman negara di samping meneroka potensi-potensi lain yang dapat diketengahkan sebagai produk pelancongan.
Antara aktiviti-aktiviti yang berlangsung ialah “Boat Cruise” dan pembersihan Turtle Beach 1 dan 2 di Golden Beach.
Menariknya, semasa perjalanan ke Turtle Beach satu, para rombongan berpeluang untuk melihat sekumpulan ikan lumba-lumba spesies Irrawaddy.
Dalam pada itu, rombongan Program D’Drift 2022 juga turut membantu warga SNP mengutip sampah bawaan air laut di sekitar kawasan Turtle Beach 1 dan 2.-EDISI UKAS