SABTU, 9 JULAI 2022
DEBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam memohon kepada agensi utiliti untuk bertindak secara proaktif dalam menyelesaikan masalah air yang sering dialami para peniaga di kawasan Gerai MDB Debak.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak mencadangkan agar dibina satu ‘Water Treatment Plant 5MLD’ dan satu ‘Water Pump Booster’ untuk Daerah Debak.
Katanya, ini bertujuan mengurangkan masalah terputus bekalan air di seluruh daerah kecil Debak.
Beliau menjelas demikian semasa hadir ke lokasi peniaga Majlis Daerah Betong (MDB) di Debak untuk meninjau masalah bekalan air bersih yang berlaku sejak beberapa hari lepas.
Menurutnya, beliau telah dimaklumkan oleh peniaga di situ mengenai kekerapan berlakunya ketiadaan bekalan air dalam tempoh dua minggu ini.
Malah beliau juga kecewa apabila dimaklumkan para peniaga yang berada di tingkat atas terpaksa mengangkut air untuk urusan kerja-kerja pembersihan. – EDISI UKAS