AHAD, 10 JULAI 2022.
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah hadir meninjau pelaksanaan program ‘Mobile Service 2 U’ anjuran Parti Rakyat Bersatu (SUPP) Cawangan Bintangor di Kedai Kopi Ha Ting Kiong, Sungai Bakong Bintangor di sini pada Sabtu.
Beliau ketika ditemui memberitahu, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk membantu penduduk di luar bandar membuat permohonan mengenai masalah-masalah yang dialami seperti kerja-kerja menaiktaraf jalan utama, membaikpulih rumah, isu tangki air, permohonan bantuan kebajikan, isu dokumen pengenalan diri dan sebagainya.
Di samping itu katanya, perkhidmatan tersebut akan diadakan pada setiap Sabtu di kawasan yang berlainan.
Dalam pada itu, Datuk Ding yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor menjemput penduduk yang tidak sempat menyuarakan kemusykilan mereka untuk terus ke Pusat Khidmat beliau untuk berjumpa dengannya atau kakitangan yang lain.
Turut hadir, Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Ketua Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Chieng Ming Kiong; Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua; Kapitan Ha Ting Kiong dan Kapitan Chieng Niong Ting. –EDISI UKAS