Angin Kencang, Hujan Lebat Melanda Miri

AHAD, 10 JULAI 2022

MIRI: Bandaraya Miri mengalami angin kencang serta hujan lebat bermula jam 5:06 petang Sabtu. 

Kejadian ini mengakibatkan banyak pokok besar yang tumbang di atas jalan malah beberapa papan tanda atau billboard turut rebah susulan ditiup angin kencang.

Dalam pada itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri mengesahkan kejadian itu dan menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang memaklumkan kejadian pokok tumbang sehingga menghalang aliran trafik jalan raya.

Pihak Bomba juga mengesahkan menerima laporan dan aktiviti pembersihan pokok tumbang di beberapa lokasi seperti Dewan Serbaguna Kampung Bakam, Jalan Stesen Minyak Shell Luak, Kuarters Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang, Kuarters Kerajaan Jalan Tanjong Lobang, jalan utama hadapan Taman Awam, Jalan Hainam Lama, Krokop 2 Jalan Teratai, Jalan Primula Piasau Industrial, jalan sebelum ke Kampung Raan serta Jalan Bakam.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah menyiarkan Ramalan Cuaca Signifikan iaitu berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), satu sistem cuaca tekanan rendah di barat Filipina dijangka bergerak menuju ke timur Vietnam dalam tempoh 9 hingga 13 Julai 2022. 

Keadaan ini berpotensi membawa angin baratan yang kuat dan boleh menyebabkan kejadian garis badai, seterusnya  mengakibatkan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang di utara Sarawak (Bintulu, Miri & Limbang), barat Sabah dan WP Labuan dalam tempoh 9 hingga 10 Julai 2022 dan negeri-negeri utara Semenanjung dalam tempoh 11 hingga 13 Julai 2022.

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora (Kategori Pertama dan Kedua) juga telah dikeluarkan di Laut China Selatan berkuat kuasa dari 9 hingga akhir tempoh ramalan.

Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dikeluarkan membabitkan Sarawak: Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) sehingga 8:00 malam; Sabtu, 9 Julai 2022.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam. 

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.-EDISI UKAS

add comment