SABTU, 9 JULAI 2022
KUCHING: Sebanyak 6 buah masjid dan surau termasuk sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan Patingan ini mengambil bahagian dalam Perarakan Bertakbir 3.0 sempena Hari Raya Aidiladha 2022.
Menurut Pengerusi Penganjur Perarakan Bertakbir 3.0 Zamhari Hashim, aktiviti ini bertujuan memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang ertinya ‘Qurban’.
Katanya, ini mengambil kira pengorbanan yang telah dilakukan nabi-nabi seperti Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar serta anaknya Nabi Ismail.
“Awal-awal lagi dalam khutbah tadi kita memberitahu bahawa ini bukannya pesta, tetapi ini adalah satu pendedahan kesedaran kepada kita untuk menghayati apa sebenarnya erti ‘Qurban’ kepada kita.
“Dalam pada itu, kita juga mengimbas kembali pengorbanan nabi-nabi kita seperti Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar yang patut dihayati kita dan dipraktik untuk kita kehidupan seharian.
“Ini merupakan satu pengorbanan dalam sejarah Islam yang patut kita teladani,” katanya ketika ditemui dalam Perarakan Bertakbir 3.0 sempena Hari Raya Aidiladha 2022 di Kampung Nombor 6 di sini pada Sabtu.
Seramai 720 peserta yang terdiri daripada penduduk kampung, masjid dan surau berhampiran serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) serta exco Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok mengikuti perarakan itu sejauh 3.6 kilometer.
Antara masjid dan surau yang terlibat ialah Masjid Darul Hana Patingan Kampung No 6, Masjid Al-Hakim Kampung Muda Hashim, Surau Nurul Islam Kampung No 5, Surau Darul Uyuun Kampung No 3, Surau Bandarsah Kampung No 2 dan Surau Darul Qarar Kampung Temedak.
Ini merupakan kali ketiga perarakan seperti ini diadakan selepas kali terakhir pada 2019 dan 2018.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Masjid Darul Hana Patingan memberitahu penglibatan ramai belia dalam aktiviti ini sememangnya menjadi keutamaan jawatankuasa masjid.
“Memang program masjid ini awal-awal lagi melibatkan belia-belia kita dengan tujuan merapati masjid.
“Di Masjid Darul Hana Patingan ini kita ada satu kumpulan yang digelar Rakan Muda Masjid di mana kita mempelawa belia-belia ini untuk bersama kita dalam mengimarahkan masjid,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan aktiviti sebegini akan diteruskan pada masa akan datang dan ini akan menjadi aktiviti tahunan dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Turut diadakan cabutan bertuah dan persembahan nasyid serta penyampaian cenderahati kepada kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian.
Hadir sama Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Satok Dato Hilmy Othman dan Timbalan Pengerusi Masjid Darul Hana Patingan Mohamad Bedari Junaidi. -EDISI UKAS