Perjanjian Baharu Tidak Wajar Dibuat, Sarawak Teruskan Usaha Dapat Semula Hak Terhakis Melalui MA63 Sedia Ada

AHAD, 10 JULAI 2022

GEDONG: Satu Perjanjian Malaysia baharu tidak wajar dibuat kerana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedia ada sudah merupakan asas kepada pembentukan negara Malaysia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sekiranya MA63 dibatalkan akibat kewujudan perjanjian baharu, maka pembentukan negara ini akan dipersoalkan.

“MA63 merupakan perjanjian asas yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin kita terdahulu dalam penubuhan Malaysia.

“Apa yang berlaku sekarang adalah kebanyakan syarat-syarat yang dipersetujui pada masa itu kini telah terhakis,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban DUN Gedong 2022 di Masjid Al Kawthar Gedong pada Ahad.  

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerajaan Sarawak terus berusaha untuk mendapatkan semula hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam MA63 dan juga hasil daripada Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini mencadangkan agar BN Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia yang baharu sebagai langkah ke arah merealisasikan tuntutan negeri tersebut secara lebih konkrit.

Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, rundingan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan sedang diteruskan dengan adanya maklumbalas terkini berkaitan perwakilan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Selaras dengan rundingan peruntukan khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D, kita telah diminta untuk mengusulkan nama calon yang akan dijadikan wakil Sarawak sebagai ahli LHDN,’’ jelasnya.

Premier Sarawak mengulas lanjut, langkah tersebut akan bantu kerajaan negeri menghasilkan satu formula di mana Sarawak akan mendapat peruntukan khas berdasarkan pendapatan yang diterima daripada negeri ini.  

“Dengan ini, ia akan menjadi situasi menang-menang untuk semua kerana kita juga tidak mahu memberi tekanan kepada kerajaan pusat sekiranya mereka mempunyai kedudukan kewangan yang tidak begitu baik,’’ ujarnya lagi. -Edisi UKAS

add comment