Premier Sarawak Sempurnakan Pemberian Sumbangan Lembu & Daging Korban Di DUN Gedong

AHAD, 10 JULAI 2022

GEDONG: Suasana meriah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini kelihatan menyerlah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong apabila wakil-wakil masyarakat tempatan hadir menerima sumbangan lembu dan daging korban di Masjid Al-Kawthar Gedong pada Ahad.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kembali ke kawasan yang beliau kini mewakili selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong setelah berjaya menawan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-14 (PRN-14) yang lepas bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban DUN Gedong 2022 kepada masjid, surau dan pusat tahfiz yang terdapat di kawasan tersebut.

Untuk rekod, sejumlah 30 lembu telah diperuntukkan kepada DUN Gedong hasil daripada sumbangan ikhlas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari sendiri (9 ekor), Parlimen Batang Sadong (8 ekor), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan (10 ekor) serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Yayasan Ikhlas (3 ekor).

Difahamkan, majlis tersebut merupakan iltizam daripada Kerajaan Sarawak dalam memastikan Umat Islam dapat menyambut Hari Raya Aidiladha serta menyebarkan kepentingan jalinan hubungan dan pengorbanan dalam setiap aspek kehidupan masyarakat.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri; Pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel; Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu dan Pegawai Daerah Gedong, Abdul Khalid Manap. -Edisi UKAS

add comment