ISNIN, 11 JULAI 2022
LIMBANG: Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah mengadakan lawatan ke tapak Program Makan Tahun Perdana 2022 di Kampung Sayung di sini pada Sabtu.
Lawatan itu bertujuan meninjau persiapan dan keperluan yang diperlukan sama ada daripada beliau sendiri atau agensi kerajaan berkaitan dalam menjayakan Makan Tahun Perdana 2022.
Ini selepas beberapa permohonan telah diajukan Ketua Kampung Sayung selaku tuan rumah Makan Tahun Perdana 2022 dan Persatuan Kedayan untuk dipertimbangkan.
Penganjuran Makan Tahun Perdana yang dijadualkan pada 5 hingga 7 Ogos nanti kembali diadakan selepas ditangguhkan selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.
Ini merupakan aktiviti tahunan yang dimasukkan dalam Kalender Jawatankuasa Parayaan Utama Daerah Limbang dan Kalender Pelancongan Sarawak 2022.
Untuk tujuan itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota telah memperuntukkan sebanyak RM25,000 kepada Persatuan Kedayan Limbang bagi penganjuran program ini.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan akan diadakan sempena program ini antaranya Pertandingan Tarik Tali Tertutup Kampung-Kampung Kedayan, Persembahan Kebudayaan dan Lagu-Lagu Kedayan, Pertandingan Kepala Kapoo, Pertandingan Kepala Bangis, Pertandingan Alai Kapoo, Pertandingan Mama Kapoo, Pertandingan Ta’atak dan lain-lain lagi.
Penganjuran program seumpama ini secara tidak langsung menghidupkan kembali rantaian sektor pelancongan seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan dan perniagaan setempat yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19 sejak 2 tahun yang lalu.
Hadir sama wakil Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang Roslin Sebari, wakil Majlis Daerah Limbang (MDL) Dayangku Fadzlynn Awangku Ahmad, Pemanca Abu Bakar Tinggal, Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang Penghulu Sahat Bagol, Penghulu Latip Tujoh dan Ketua Kampung Sayung Yaman Mumin. -EDISI UKAS