ISNIN, 11 JULAI 2022
SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab meneruskan amalan tradisi setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha dengan menyumbang lembu bagi melaksanakan Program Qurban Perdana 2022 di kawasan itu.
Pada tahun ini, Ir Yusuf telah menyumbangkan sebanyak 18 ekor lembu bagi seluruh kawasan P.206 Tanjong Manis manakala Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh telah menyumbangkan sebanyak 30 ekor bagi kawasan Kuala Rajang.
Katanya, program qurban pada tahun ini dilaksanakan serentak di beberapa masjid dan surau iaitu Masjid Al-Mutaqqin, Masjid Ar-Rahmah Kampung Seberang, Masjid Darul Sahadah, Taman Susur Jambu, Surau Darul Huda dan Masjid Nur Permai, Jalan Nyelong By-Pass.
Jelasnya, semua lembu-lembu sumbangan wakil rakyat dibahagikan kepada Jawatankuasa Masjid, surau, pertubuhan, agensi kerajaan dan parti.
Beliau menjelas demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Program Qurban Perdana 2022 di Masjid Al-Mutaqqin Sarikei pada Isnin.
Tambahnya, bagi surau-surau kecil di kawasan parlimen Tanjong Manis yang tidak melaksanakan ibadah qurban, beliau telah menyumbangkan peruntukan berjumlah RM1,000 bagi menjalankan aktiviti sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha.
Sebahagian dari daging qurban juga akan diserahkan kepada golongan asnaf dan fakir miskin yang telah dikenalpasti melalui Ketua-ketua Kaum di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Ir Yusuf turut berkesempatan menghadiri Program Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei bertempat di Masjid Nur Permai yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Dato’ Sri Huang ketika ditemui turut mengumumkan berita gembira kepada masyarakat Islam di situ apabila Surau Nur Permai telah dinaiktaraf statusnya menjadi Masjid Nur Permai.
Katanya, penghargaan wajar diberikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana telah banyak menghulurkan dana melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menaiktaraf kemudahan di masjid tersebut.
Difahamkan sebanyak RM700,000 telah diluluskan pada 2019 untuk menaik taraf masjid itu.
Ia disusuli dengan RM300,000 lagi diluluskan pada 2021 dan tambahan RM100,000 pada 2022.
Pada program itu, Dato’ Sri Huang telah menyumbang sebanyak tujuh ekor lembu untuk diqurbankan sempena Hari Raya Aidiladha. – EDISI UKAS