Surau Ar-Rahman Jabatan Premier Sarawak Anjur Majlis Ibadah Korban

ISNIN, 11 JULAI 2022

KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini disambut dengan sederhana dan penuh keinsafan selepas dua tahun ibadah korban dihadkan susulan pandemik COVID-19.

Selain memenuhi tuntutan agama, ibadah korban yang dilaksanakan pada tahun ini juga dilihat menjadi pengerat semula silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Ia jelas terbukti apabila Jawatankuasa Pengurusan Surau Ar-Rahman, Jabatan Premier Sarawak menganjurkan Majlis Ibadah Qurban bertempat di perkarangan Wisma Bapa Malaysia di sini pada Isnin.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang mewakili Premier Sarawak.

Bercakap kepada UKAS, beliau memberitahu, daging-daging korban yang diagihkan pada majlis itu adalah hasil daripada sumbangan kakitangan di Jabatan Premier Sarawak sendiri.

Sumbangan lima ekor lembu itu dikorbankan oleh ahli jawatankuasa Surau Ar-Rahman dengan kerjasama kakitangan jabatan pada sebelah pagi, sebelum perasmian tersebut pada sebelah petang.

“Majlis ini berjalan dengan lancar hasil daripada kerjasama dan gotong-royong yang dianjurkan bersama kakitangan dan pegawai kerajaan yang berkhidmat di Wisma Bapa Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Surau Ar-Rahman kerana telah menjayakan majlis ini dan semoga semua yang terlibat dilimpahi dengan keberkatan dan rahmat,” tambah beliau.

Terdahulu, Datuk Dr Abdul Rahman telah menyempurnakan upacara melapah daging lembu sebagai simbolik sambutan majlis tersebut, disusuli pengagihan sebanyak 139 daging korban kepada pegawai-pegawai, kakitangan serta asnaf daripada agensi-agensi di bawahnya.

Antaranya ialah Pejabat Peguam Besar Sarawak, Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak, Unit Pengurusan Dan Pembangunan Sumber Manusia Sarawak, Unit Pentadbiran, Unit Perancang Ekonomi, Unit Protokol Istiadat dan Pengurusan Acara, Unit Pemantauan dan Pelaksanaan, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan, Unit Pemodenan dan Perkhidmatan, Unit Komunikasi Awam Sarawak, Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh, Pejabat Setiausaha Eksekutif kepada MMKN, Pejabat Premier Sarawak, Pejabat Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Pejabat Sarawak Information System Sdn Bhd serta Pejabat Datuk Abdullah Saidol.

Hadir sama di majlis itu ialah Pengerusi Surau Ar Rahman ,Tahir Mohd Sharee. -EDISI UKAS

add comment