SELASA, 12 JULAI 2022
MIRI: Kebersamaan dalam kepelbagaian etnik dan kaum di Sarawak terus menjadi keunikan dan kekuatan bagi rakyat di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, rakyat Sarawak dapat bersama walaupun mempunyai latar belakang kaum yang berbeza terutama sekali apabila menyambut perayaan.
“Sarawak mempunyai begitu banyak komuniti serta kumpulan etnik dan ini sebenarnya kekuatan kita.
“Apabila tiba musim perayaan, masyarakat Sarawak akan bersama-sama meraikannya dalam suasana yang harmoni.
“Saya percaya bahawa perpaduan dan kepelbagaian adalah sesuatu yang kita semua patut bangga dengan Sarawak.
“Ini adalah perkara yang kita harus sentiasa hargai,” katanya dalam Majlis Makan Malam Gawai Ngiling Tikai Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) di Eastwood Golf & Country Club Miri, Miri pada Ahad.
Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menyeru masyarakat di negeri ini untuk terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan ini supaya Sarawak terus aman dan makmur.
Hadir sama, ADUN Pujut merangkap Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang serta isteri Rita Lau, wakil Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau Kaunselor Aries Leong, isteri ADUN Telang Usan Debbie Irang Dennis, Pengerusi Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) Kijan Tonybee, dan Pengerusi RURUM Kelabit Sarawak Dato Dr. Philip Raja.-EDISI UKAS