SELASA, 12 JULAI 2022
ASAJAYA: Masyarakat yang terlibat dalam program ibadah korban diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara ini memerlukan kerjasama semua pihak dengan tidak alpa sehingga mengabaikan SOP.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua penduduk kampung yang terlibat dalam majlis ibadah korban supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri pemakaian pelitup muka dan mensanitasi tangan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pengagihan daging korban di Kampung Moyan Ulu di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Amat dan Temenggong Bahagian Samarahan, Chek Bujang.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Belia Sukan Dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya memberitahu, sebanyak 25 ekor lembu telah dikorban bagi kawasannnya semasa ibadah korban pada tahun ini.
Jelasnya, kesemua lembu itu disumbangkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bahagian Samarahan (LAKIS), Datuk Rubiah Wang dan beliau sendiri. -EDISI UKAS