Sarawak Berjaya Tingkat Pembangunan Ekonomi Melalui Ekonomi Digital

SELASA,12 JULAI 2022

KUCHING: Sarawak berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi melalui transformasi dalam beberapa sektor sejak permulaan agenda ekonomi digital pada 2018.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia termasuk sektor pertanian, industri kelapa sawit, e-dagang, kewangan dan teknologi kewangan, kerajaan digital, bandar pintar, pelancongan, pembuatan dan industri perkhidmatan.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pada tahun 2018 untuk melaksanakan agenda ini.

“Untuk melaksanakan agenda ekonomi digital ini, pada tahun 2018, kerajaan Sarawak telah menubuhkan SMA di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak 2017 yang merupakan sebuah badan kawal selia untuk menerajui, menyelia dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan komunikasi, multimedia dan digital dalam ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kongres Kejuruteraan Asean Australia 2022 (AAEC2022) di TEGAS Digital Village di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, pembangunan ekonomi ini selari dengan visinya untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Visi saya untuk Sarawak ialah menjelang 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang maju dengan ekonomi yang berkembang pesat didorong oleh data dan inovasi di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, pelbagai insiatif di bawah ekosistem ekonomi digital telah dicapai dalam tempoh lima tahun lalu.

Antaranya ujar beliau, adalah inisiatif Sarawak menghubungkan Bandar dan Luar Bandar (SALURAN) untuk menyediakan ketersambungan kepada rakyat yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan terpencil dan luar bandar Sarawak.

“Pembinaan 600 menara komunikasi adalah sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) Lembaga Multimedia Sarawak yang dijangka siap dengan perkhidmatan mobiliti dan MySRBN pada 2023.

“Selain itu, rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) ialah 4G milik negeri dengan rangkaian teras sedia 5G yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar,” tambah beliau.

Hadir sama dalam progam itu ialah, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Hui Kian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Permodenan Pertanian, dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Pengerusi Majlis ASEAN-Australian Engineering Congress (AAEC2022), Dennis Ong.-EDISI UKAS

add comment