Datuk Amar Awang Tengah Ketuai Delegasi Kerajaan Sarawak Ke Persidangan Pengguna ESRI 2022 Di San Diego

Rabu, 13 Julai 2022

SAN DIEGO: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi kerajaan Sarawak ke Persidangan Pengguna Esri 2022 di Pusat Konvensyen San Diego, California. 

Menurut kenyataan media daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak pada Rabu, penyertaan delegasi kerajaan Sarawak dalam persidangan itu adalah untuk menanda aras transformasi digital negeri dan mempelajari amalan terbaik dan teknologi geospatial terkini dalam pasaran. 

Persidangan yang bermula pada 11 sehingga 15 Julai 2022 itu bertemakan “GIS-Mapping Common Ground” dan dihadiri sekitar 15,000 perwakilan dari seluruh dunia.

Delegasi telah dijemput ke Forum Eksekutif Kerajaan Kebangsaan iaitu acara khas yang menghimpunkan eksekutif dan pengurus kanan pihak berkuasa data geospatial negara, termasuk pemetaan negara, carta, pentadbiran tanah, kadaster dan organisasi statistik di mana pemimpin berkongsi kisah kejayaan dan pengalaman mereka dalam menyahut cabaran baharu dan berkembang dalam bidang ini.

Selain itu, delegasi turut berkesempatan melawat Ekspo ESRI untuk mempelajari dan mendalami teknologi yang berguna untuk rujukan masa depan serta transformasi berterusan dalam LASIS Generasi Seterusnya, Pemetaan Utiliti, Perancangan Bandar dan Pengurusan Mineral.

Sementara itu, delegasi juga mengambil kesempatan untuk mengadakan pertemuan dengan ESRI Malaysia bagi membincangkan dan menghuraikan penggunaan teknologi GIS, khususnya mengenai kestabilan tanah, pemetaan mineral, kelestarian hutan, pelan induk pengedaran gas, perubahan iklim, pelancongan, pembangunan bakat.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Sumber Asli & Perancangan Bandar (MUDeNR), Datu Len Talif Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd. Naroden Majais, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak (SSMU), Michael Ronnie Langgong, Pemangku Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood dan pegawai kanan kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS

add comment