RABU, 13 JULAI 2022
KOTA SAMARAHAN: Pelajar lepasan sekolah menengah di Parlimen Kota Samarahan diseru melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran-kemahiran di luar skop pengajian akademik.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, mereka perlu menguasai komunikasi awam yang berkesan, penggunaan aplikasi dan peranti terkini serta pelbagai lagi kemahiran diperlukan pada masa kini.
Menurutnya, dalam memilih kursus di peringkat pra universiti atau ijazah sarjana muda, seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran.
“Namun, dalam menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) selain pandemik COVID-19, ia banyak mempengaruhi peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa hadapan.
“Jadi, pelajar lepasan sekolah menengah perlu memilih bidang kursus tepat yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya kelak,” katanya semasa Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Enam Kohot 2020/2021 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Ikhwan Zaini, Asajaya pada Selasa.
Majlis graduasi tersebut meraikan seramai 115 graduan yang telah menamatkan pengajian pra universiti mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya dan memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Dalam pada itu, Datuk Rubiah Wang turut menyampaikan Anugerah Sri Samarahan kepada pelajar terbaik keseluruhan, iaitu Lau Ka Jun daripada kelas Tingkatan Enam Akasia yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan juga sahsiah.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengetua SMK Asajaya, Samsul Alam Shamsuddin, Pegawai Tadbir Sarawak yang mewakili Pegawai Daerah Asajaya, Hassanah Bujang, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Asajaya, Marzatilaswati Hamzah dan Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Asajaya, Bohari Aman. -EDISI UKAS