Speaker DUN Sarawak Serah Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran Kampung Sebiew

RABU, 13 JULAI 2022

BINTULU: Mangsa kebakaran Kampung Sebiew terus mendapat perhatian kali ini daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Beliau yang dalam rangka lawatan ke Bintulu sempat meluangkan masa melawat serta meninjau tapak kebakaran di Kampung Sebiew. 

Dalam lawatan pada Selasa, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia telah menyampaikan bantuan ehsan berupa barangan keperluan asas bernilai RM500 dan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada setiap keluarga di Surau Darul Taqwa Kampung Sebiew Bintulu.

Turut disampaikan bantuan tunai sebanyak RM300 kepada 9 pelajar yang terjejas  manakala RM20,000 untuk menaik taraf Surau Darul Taqwa kampung berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim telah memberikan taklimat kepada Speaker DUN Sarawak berkenaan dengan bantuan-bantuan yang telah diberikan Kerajaan Sarawak. 

Pada 2 Julai lepas, satu kejadian kebakaran telah memusnahkan 11 buah rumah di Kampung Sebiew. 

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Hadir sama wakil Pegawai Daerah Bintulu Suzana Indiat, Penghulu Drahman Sisit dan Ketua Kaum Saipol Bahari Bujang.-EDISI UKAS

add comment