ADUN Belaga Sumbang RM43,000 Kepada Penduduk Rumah Panjang Uma Sambop

KHAMIS, 14 JULAI 2022

BELAGA: Sebuah rumah panjang Uma Sambop di Long Semutut, Belaga telah musnah akibat kebakaran yang meranapkan keseluruhan empat blok rumah panjang ini yang melibatkan 86 buah pintu termasuk sebuah Gereja pada petang Selasa.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang yang prihatin dengan nasib mangsa kebakaran rumah panjang itu telah turun padang bagi melihat sendiri kesan kebakaran berkenaan pada Rabu.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga turut menziarahi dan berjumpa dengan penduduk yang terkesan dengan musibah yang menimpa mereka itu.

Dalam lawatan itu, Datuk Liwan telah menghulurkan bantuan segera dari Pusat Khidmat DUN Belaga berjumlah RM43000, di mana setiap pintu rumah akan mendapat RM500 untuk meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung.

Turut hadir ke lokasi kejadian ialah Ahli Parlimen Kuala Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong yang juga menyumbang sebanyak RM20,000 kepada rumah panjang tersebut.

Sementara itu, beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut membuka kaunter sementara berhampiran dengan lokasi kejadian bagi membantu penduduk yang terlibat dalam urusan dokumentasi dan pelbagai urusan penting yang lain.

Uma Sambop yang berada di tebingan Sungai Belaga terletak lebih kurang 80 kilometer dari Pekan Belaga merupakan satu perkampungan atau penempatan bagi suku kaum Kenyah.-EDISI UKAS

add comment