KHAMIS, 14 JULAI 2022
LAWAS: Penubuhan Persatuan Pesara Kerajaan Lun Bawang Zon Utara Sarawak menjadi platform bagi para pesara untuk berkumpul, berbincang dan bertukar pendapat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong berkata, ini adalah langkah tepat untuk mereka yang mempunyai pengalaman yang mencukupi memajukan diri.
“Hasrat kita ini, selain ingin memajukan diri , persatuan ini dapat membantu kaum kita Lun Bawang.
“Dengan penubuhan Persatuan ini , ahli-ahlinya dapat memberikan kesedaran serta penjelasan khususnya pada masa ini yang mana banyak isu-isu negatif bangkit yang membuat rakyat dan kaum Lun Bawang keliru,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Persatuan Kebajikan Pesara kerajaan Lun Bawang Zon Utara, Sarawak di sini baru-baru ini.
Dato’ Henry menambah, ahli persatuan juga bukan hanya dapat membantu menyedia dan melaksanakan aktiviti sahaja malahan dapat membantu masyarakat melalui kesedaran dan penjelasan yang menjurus kepada kebaikan untuk membawa kaum Lun Bawang ke satu arah yang berfikiran releven dan maju.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada persatuan tersebut.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Lun Bawang Zon Utara Sarawak Peterus Abai, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Zianal Abiden Pengiran Hamzah, Pemanca Kading Palong, Penghulu Davis Parag Udan serta ahli-ahli persatuan itu.-EDISI UKAS