Sibu International Base Jump Kembali September Ini

KHAMIS, 14 JULAI 2022

SIBU: Acara ikonik, Sibu International Base Jump kembali memeriahkan bandar Sibu pada 15 hingga 17 September ini bertempat di Wisma Sanyan Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang fasa 1.

Menurut Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng, Sibu International Base Jump 2022 yang memasuki tahun ke-12 akan dianjurkan oleh Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu.

Katanya, acara itu turut mendapat kerjasama daripada penganjur bersama iaitu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Wisma Sanyan dan Ababil Base Jump Cub selaku penasihat teknikal.

“Beberapa penerjun daripada luar negara dan penerjun tempatan telah mengesahkan penyertaan dan jumlah keseluruhan akan dimaklumkan pada sidang media yang akan diadakan pada 14 September 2022.

“Antara agensi yang bekerjasama dalam acara ini termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, RH Hotel, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, Hospital Sibu, RELA, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Sibu, Moma Water dan Sarawak Tourism Board,” katanya dalam sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu pada Khamis.

Beliau dalam pada itu berharap, dengan adanya acara ini, ianya dapat mempromosikan Sibu sebagai antara lokasi untuk sukan extreme.

Selain katanya, acara tahunan itu juga dapat memeriahkan sektor pelancongan sekaligus dapat memperkenalkan Sibu sebagai bandar yang penuh dengan tarikan budaya, adat, makanan dan tempat bersejarah.

Pendaftaran     boleh       dibuat      melalui     website: www.sibuinternationalbasejump.com sebelum 14 September 2022. – EDISI UKAS

add comment