Datuk Roland Sagah Ketuai Delegasi Ke United Kingdom

JUMAAT, 15 JULAI 2022

KUCHING :Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn baru-baru ini telah mengetuai delegasi Sarawak dalam lawatan kerja ke United Kingdom untuk bertemu dengan beberapa pertubuhan pendidikan dan penyelidikan.

Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dalam satu kenyataan media pada Jumaat memberitahu, objektif utama lawatan tersebut adalah untuk lebih memahami kandungan pembelajaran Raspberry Pi dan penggunaannya untuk pelajar dan guru.

Kemuncak pertemuan delegasi itu dengan Yayasan Raspberry Pi ialah sesi pengenalan kepada pengekodan secara langsung untuk Datuk Roland serta delegasi di mana mereka belajar menggunakan komputer Raspberry Pi dan pengaturcaraan Scratch untuk mensimulasikan litar elektrik yang mengaktifkan LED lampu.

Selain itu, delegasi itu turut berpeluang melawat pusat kerja yayasan tersebut dan mempelajari tentang piawaian yang ditetapkan untuk program pendidikan yang menggunakan Raspberry Pi.

Difahamkan, pihak MEITD dan Yayasan Raspberry Pi akan mengadakan perbincangan lanjut untuk bekerjasama dan menjalankan program serta aktiviti sesuai yang menyasarkan pelajar dan guru di Sarawak.

Sementara itu, ahli delegasi turut berkesempatan bertemu dengan pasukan dari Imperial College, London untuk membincangkan bidang penyakit berjangkit terutamanya dalam pengawasan penyakit, analisis data, molekul diagnostik dan pembangunan terapeutik.

Ia adalah sebahagian daripada perancangan dan strategi dalam mewujudkan perkongsian penyelidikan dan pembangunan bakat antara kolej itu bersama dengan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC).

Manakala, Datuk Roland serta rombongan juga melawat ke Muzium Sains di London selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat sains tersendiri. 

Pada lawatan tersebut, mereka telah diberi taklimat berkenaan model pengoperasian dan kemampanan muzium berkenaan, strategi untuk menarik minat orang ramai terhadap bidang sains, serta program-program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilaksanakan. 

Selain itu, wakil dari pihak muzium turut berkesempatan memberi taklimat berkenaan cara pembangunan serta pengurusan pelbagai jenis pameran yang dimiliki. 

Turut serta dalam lawatan kerja tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Dr Annuar Rapa’ee, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Kameri Affandi, Timbalan Peguam Negara Saferi Ali dan pegawai-pegawai dari Kementerian, Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak, Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak serta Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.-EDISI UKAS

add comment