JTS Terima Anugerah Berprestij Di Persidangan Pengguna ESRI 2022 Di San Diego, Amerika Syarikat

JUMAAT, 15 JULAI 2022

SAN DIEGO: Sarawak sekali lagi mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa apabila Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak memenangi Anugerah Pencapaian Khas dalam GIS (SAG) dalam Persidangan Pengguna ESRI 2022 bertempat di San Diego, California, Amerika Syarikat.

Projek Electronic Land And Survey Information System (eLASIS) dan Mobile LASIS telah dipilih untuk menerima anugerah berprestij berkenaan daripada lebih 100,000 projek yang lain.

Anugerah ini diberikan kepada laman pengguna di seluruh dunia untuk mengiktiraf kerja cemerlang dengan teknologi GIS yang mana anugerah tersebut telah mengiktiraf  eLASIS dan Mobile LASIS yang mewujudkan “One-Stop Virtual Office”.

Menurut JTS dalam satu kenyataan media pada Khamis, inisiatif eLASIS dan Mobile LASIS adalah untuk mengubah sistem penyampaian perkhidmatan jabatan itu secara digital dengan misi ‘membawa pejabat ke setiap pintu rumah’.

Selain itu, projek tersebut juga adalah transformasi berterusan kepada sistem penyampaian perkhidmatannya untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan dan pelanggan dan telah terbukti cekap dan berkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana orang ramai terjejas oleh pandemik COVID-19.

Hadir ke Persidangan Pengguna ESRI 2022 sekaligus menerima anugerah berprestij SAG daripada Presiden ESRI, Jack Dangermond ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diiringi oleh Timbalan Menteri Sumber Asli & Perancangan Bandar (MUDeNR), Datu Len Talif Salleh, serta Penasihat Kementerian Antarabangsa Perdagangan, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd. Naroden Majais.

Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Ts. Dr. Zaidi Razak, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak (SSMU), Michael Ronnie Langgong dan Pemangku Pengarah JTS, Awang Zamhari Awang Mahmood.-EDISI UKAS

add comment