JUMAAT, 15 JULAI 2022
SIMUNJAN: Pelaksanaan projek penahan hakisan Tebingan Sungai Simunjan yang disenaraikan dalam Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) sudah diluluskan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, projek penahan hakisan sepanjang 525 meter yang bernilai lebih RM74 juta itu merupakan antara lima projek yang dimohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dalam IRSDA.
Menurutnya, empat lagi projek yang dimohon ialah cadangan kerja-kerja penahan hakisan tebingan sungai di Sungai Kampung Sageng (Fasa 2) sepanjang 500 meter anggaran jumlah sebanyak RM20 juta.
“Seterusnya, cadangan kerja-kerja penahan hakisan tebingan sungai di Sungai Kampung Sageng (Fasa 3) sepanjang 700 meter dengan anggaran kos RM200 juta.
“Selanjut pula cadangan kerja-kerja penahan hakisan tebingan sungai di Sungai Kampung Tabuan sepanjang 500 meter dengan anggaran kos RM20 juta dan yang projek ‘upstream flood bypass around Simunjan Town’ (Lubok Samsu) yang sepanjang 1,300 meter denhan anggaran kos RM252 juta lebih dan satu lagi projek di Kampung Pantong juga akan disenaraikan di bawah IRSDA,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan dan lawatan ke beberapa kampung serta kawasan yang mengalami risiko hakisan sungai di Simunjan pada Khamis.
Lawatan ini juga merupakan sempena Program Jelajah Alam Sekitar di kawasan DUN Simunjan di mana ia merupakan program mingguan Dr. Hazland untuk menjelajah ke segenap teluk-pisok Sarawak bagi menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan alam sekitar.
Antara kawasan yang dilawat oleh Dr. Hazland dalam program tersebut adalah Kampung Sageng Ulu, Kampung Sageng Sabal, Kampung Sageng Hilir, Kampung Tabuan, tapak Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai Simunjan dan lawatan diakhiri di Kampung Pantong.
Beliau juga berkesempatan untuk melihat sendiri keadaan beberapa rumah penduduk Kampung Sageng yang semakin hampir dengan sungai dan retak akibat tanah semakin mendap ekoran hakisan tersebut.
Dalam pada itu, Dr. Hazland memberitahu, isu yang telah dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini telah mendapat perhatiannya.
“Isu yang telah dibawa oleh ADUN Simunjan yang berkaitan isu utama ialah hakisan sungai di Sungai Batang Sadong yang melibatkan beberapa buah rumah yang agak kritikal dan perlu perhatian cepat,” katanya.
Turut hadir adalah Pengarah Alam Sekitar Negeri Sarawak (JAS), Hamzah Mohamad, Assistant Controller, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Kenny Poon, Muiz Talib dan Dolyadi Mondol dari Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan (DID), Abdurahman Akasyah dari Jabatan Kerja Raya Bahagian Samarahan (JKR), Penghulu Ahmad Dol Simpol dan Mohammad Zaini Morshidi, Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan N25 Simunjan yang membawa rombongan ke lokasi-lokasi berkenaan. -EDISI UKAS