PPWS Lancar ‘Buku 60 Tahun PPWS’ Sempena Ulangtahun Ke-60

SABTU, 16 JULAI 2022

KUCHING: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) telah melancarkan sebuah buku bersempena dengan ulangtahun ke-60 penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu di negeri ini.

Isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah menyempurnakan pelancaran buku tersebut termasukk Buku Resepi Sihat Tradisi Sarawak PPWS dalam Majlis Jamuan Teh bersempena dengan Jubli Intan Ke-60 PPWS yang bertemakan ‘Pemangkin Komuniti Dinamik’ di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani turut menyampaikan Anugerah Cawangan PPWS Paling Cemerlang kepada PPWS Cawangan Sibu, Sarikei dan Kapit serta penyampaian Anugerah Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung kepada Penasihat PPWS Dato Rugayah Abdul Majid.

Terdahulu, berucap dalam majlis itu, Pengerusi Negeri PPWS Dato Norhyati Mohd Ismail memberitahu, PPWS telah mendokumentasikan kisah-kisah ahli-ahli PPWS yang telah berjaya dan memberi inspirasi kepada golongan wanita dalam Buku 60 Tahun PPWS itu.

“Buku ini hanyalah contoh kecil khazanah penceritaan ahli PPWS yang kesemuanya telah dapat mengubah kehidupan keluarga mereka yang seterusnya membawa kepada transformasi masyarakat Sarawak khususnya dan negara kita amnya,” katanya.

Dato Norhyati turut berkata, wanita Sarawak mesti memahami potensi yang besar aspek wanita dan teknologi maklumat (IT) yang memberi peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Kita menyedari bahawa dua aspek ini iaitu wanita dan teknologi maklumat (IT) memberi peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Kita, wanita Sarawak, mesti memahami potensi yang besar dalam dua aspek ini dan harus merebut peluang dengan infrastruktur dan teknologi digital yang diwujudkan untuk kita terus menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

“Ini adalah selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk menggunakan platform digital sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Kita mengakui hakikat bahawa ekonomi digital adalah pemangkin utama dalam pertumbuhan ekonomi negara secara global dalam era kini,” ujar beliau lagi.

Sebagai makluman, PPWS telah ditubuhkan pada tahun 1962 dengan keahlian kini seramai 12,388 orang di 352 buah perkumpulan seluruh Sarawak dan terdiri daripada berbilang kaum.-EDISI UKAS

add comment