SABERKAS Cawangan Batang Ai Adakan Program SABERKAS Prihatin

JUMAAT, 15 JULAI 2022

SRI AMAN: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batang Ai telah mengadakan Program SABERKAS Prihatin bertempat di beberapa lokasi di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada Khamis.

Program amal tersebut telah disempurnakan oleh Jack Meredan yang merupakan Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh.

Mewakili Dr Malcom, Jack memberitahu inisiatif seumpama itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan dan bantuan wang tunai.

Antara penerima yang terpilih ialah seorang anak yatim piatu bernama Magdeline Sudah yang memikul tekanan dalam kehidupan sehariannya kerana sukar mendapatkan pekerjaan.

Selain itu, sumbangan turut disampaikan kepada seorang warga emas yang tergolong dalam Orang Kurang Upaya (OKU), Ah Onn.

Turut menerima sumbangan adalah mangsa kebakaran rumah panjang Wong Panjai, Mili Tanjong.

Ketiga-tiga penerima mengucapkan terima kasih kepada Datuk Malcom dan semua pihak yang terlibat di atas keprihatinan dan usaha membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

Turut sama dalam program itu ialah Pengerusi SABERKAS Cawangan Engkilili Awang Said, Setiausaha SABERKAS Cawangan Batang Ai Kumpang Tutong dan Bendahari SABERKAS Cawangan Batang Ai Nicholas Bawin Burung. -EDISI UKAS

add comment