Datuk Amar Jaul Samion Terima Anugerah Tokoh Perkhidmatan Awam Sarawak

AHAD, 17 JULAI 2022

KUCHING: Mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion menerima Anugerah Tokoh Perkhidmatan Awam Sarawak dalam majlis ‘Honouring Years of Excellence Service’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam Sabtu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan penyerahan anugerah tersebut kepada Datuk Amar Jaul sebagai penghargaan kepada sumbangan serta ketokohannya memimpin perkhidmatan awam negeri.

Berucap dalam majlis penghargaan tersebut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, Datuk Amar Jaul telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang 42 tahun beliau menyumbang bakti kepada kerajaan Sarawak dan perkhidmatan awam negeri.

Mengimbas kembali kerjasama antara beliau dan Datuk Amar Jaul, Premier Sarawak berkata, sebelum ini mereka telah bekerjasama dalam pembentukan kementerian yang baharu iaitu Kementerian Perindustrian pada tahun 1987.

Menurutnya, pembentukan kementerian baharu pada masa itu telah memberi cabaran yang besar kepada dirinya serta Datuk Amar Jaul dan pegawai kerajaan lain ke arah mentransformasikan ekonomi Sarawak ke arah ekonomi baharu berasaskan perindustrian.

“Saya telah diberi arahan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu (Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) bagi mewujudkan sebuah kementerian baharu bagi memberi nafas baru kepada ekonomi Sarawak.

“Ia bukan tugas yang mudah dalam usaha kita mentransformasikan ekonomi Sarawak yang sebelum ini berasaskan pertanian kepada ekonomi berteraskan perindustrian,” katanya.

Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, Datuk Amar Jaul turut berjaya membuktikan keupayaan dalam memantau dan mengawal penularan wabak COVID-19 di Sarawak dengan berkesan sejak dua tahun lepas.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, beliau (Datuk Amar Jaul) juga merupakan antara penggerak dalam pelancaran Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan memastikan ekonomi Sarawak kembali rancak seperti sebelumnya.

“PCDS 2030 akan memacu ekonomi Sarawak menerusi kepantasan ekonomi digital, data dan inovasi ke arah ekonomi Sarawak yang kukuh menjelang 2030,” jelasnya lagi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pengangkutan I, Datuk Dr. Jerip Susil, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan I, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS

add comment