PBT Main Peranan Penting, Beri Khidmat Berkualiti Kepada Rakyat

ISNIN, 18 JULAI 2022

KUCHING: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada seluruh rakyat Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian memberitahu, walaupun ia kerap digelar sebagai peringkat ketiga dalam pentadbiran kerajaan negeri, namun PBT merupakan antara petugas barisan hadapan terpenting di sini.

“Dalam pada itu, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah serta terima kasih kepada ahli-ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) atas semangat dan komitmen mereka untuk terus berkhidmat kepada penduduk tempatan serta membawa impak positif kepada bandaraya Kuching,’’ katanya dalam satu entri Facebook pada Sabtu.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah bagi pelantikan semula Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, Timbalan Datuk Bandar MBKS, Hilmy Othman serta 30 kaunselor dari MBKS di bangunan MBKS di sini.

Untuk rekod, tempoh pelantikan semula bagi kesemua ahli majlis tersebut adalah dari 1 Julai 2022 sehingga 31 Disember 2022. -Edisi UKAS

add comment