ISNIN, 18 JULAI 2022
BINTULU: Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) siri yang pertama dianjurkan untuk para peserta adalah sangat penting dan tepat pada masanya.
Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, dalam usaha menangani isu kehamilan remaja khasnya, Kerajaan Sarawak telah menetapkan KPI penurunan bilangan kes remaja hamil sebanyak 10 peratus setiap tahun berbanding dengan bilangan kes pada tahun sebelumnya.
“Statistik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menunjukkan bahawa trend bilangan remaja hamil sudah semakin menurun sejak tahun 2014 iaitu daripada 3,401 kes kepada 1,623 kes pada tahun 2021.
“Trend penurunan ini memberi semangat kepada Kerajaan Sarawak, melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak dan rakan-rakan strategiknya dalam One Stop Teenage Preganancy Committee (OSTPC) terus mengendalikan program KAPS ini di sekolah-sekolah menengah di seluruh Sarawak.
“Pada tahun ini, MPS merancang untuk melaksanakan sebanyak 26 siri program KAPS di sekolah-sekolah menengah kebangsaan di seluruh Sarawak,” katanya semasa berucap pada program KAPS di Dewan SMK Tatau, Bintulu pada Sabtu.
Untuk Bahagian Bintulu, sebanyak empat program KAPS dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini, iaitu dua siri program KAPS sekolah menengah di SMK Tatau dan SMK Bintulu di Daerah Bintulu dan dua lagi siri program KAPS sekolah rendah di SK Sebauh dan SK Labang di Daerah Sebauh.
Tambah beliau, adalah penting bagi ibu-bapa terus mengingatkan anak-anak tentang nilai murni dan harapan keluarga dan memantau tingkah laku mereka dengan penuh kasih sayang.
Ujarnya, jika remaja tidak mempunyai pengetahuan dan akses kepada maklumat dan bahan pencegahan kehamilan yang tepat, mereka menghadapi risiko hamil apabila terjebak dengan seks tidak selamat dan perhubungan yang tidak sihat.
Oleh itu, pendidikan kesihatan seksual tidak wajar lagi dianggap sebagai satu ‘taboo’ oleh sekolah atau ibu bapa, jelasnya.
Tegas Datuk John Sikie lagi, jika ibu bapa bersikap terbuka dan membimbing, anak-anak akan lebih bersedia untuk merujuk kepada ibu bapa mereka apabila berhadapan dengan sebarang isu tentang seks yang dihadapi.
Semasa majlis tersebut, beliau telah mengumumkan penyaluran geran sebanyak RM40,000 kepada SMK Tatau manakala RM10,000 kepada Klinik Kesihatan Tatau.
Hadir sama pada program tersebut ialah Pengetua SMK Tatau Dr. Layang Ugek, Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Tony Mandy Bogeg dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Sebauh Agnes Ingai. – EDISI UKAS