Ilmu Falak Mampu Pacu Pembangunan Negeri Sarawak

SELASA, 19 JULAI 2022

KUCHING: Kajian tradisional ilmu Islam bukan sahaja membahaskan berkenaan alam semesta malah merangkumi ilmu yang dikenali sebagai ilmu geografi fizikal.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah berhubung kait dengan ilmu falak atau ilmu astronomi bagi membantu memberikan petanda perubahan alam termasuk cuaca serta pertukaran musim.

Justeru itu jelasnya, penubuhan pusat kajian falak mampu menyokong dalam memacu pembangunan negeri Sarawak menerusi pemahaman hal ehwal daratan dan memanfaatkan sumber bumi.

“Ini adalah ilmu yang ada hubung kait dengan falak di mana pihak mufti telah melaksanakan pusat mengkaji falak seperti di Miri dan mungkin bakal ditubuhkan di Kuching.

“Pusat kajian ini adalah bagi memberikan ruang kepada generasi muda untuk mempelajari perkara berkaitan dengan ruang udara termasuk sumber bumi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan perasmian Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak di Raia Hotel & Convention Centre di Kuching, pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, ilmu falak yang difahami oleh masyarakat Islam juga mendapat kepercayaan dan dihormati oleh masyarakat bukan Islam.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak yang disokong oleh semua lapisan agama perlu dipertahankan bagi memperkukuhkan kemakmuran rakyat.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha. -EDISI UKAS

add comment