Kerajaan Sarawak Tidak Kompromi Dengan Rasuah Dalam Kalangan Penjawat Awam

SELASA, 19 JULAI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya berkata, pihak kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memantapkan integriti sekaligus memastikan penjawat awam menegakkan prinsip integriti.

Menurutnya, usaha ini juga bagi membentuk akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih telus, cemerlang dan berdaya saing tinggi.

“Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) adalah manifestasi kerajaan dan usaha berterusan untuk membentuk modal insan sektor awam yang profesional, bertanggungjawab dan berintegriti.

“Ini kerana, perkhidmatan yang disediakan kerajaan sering dipandang negatif oleh masyarakat kerana mereka beranggapan kelemahan ini disebabkan oleh penjawat awam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sektor Awam Siri 30 Bilangan 2 Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) Kuching pada Selasa.

Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 30 Bilangan 2 Tahun 2022 merupakan anjuran bersama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Negeri Sarawak.

Dalam program tersebut seramai 76 orang peserta CeIO telah mengikuti Kursus Pegawai Integriti Bertauliah bermula pada 23 Mei hingga 19 Julai lepas dengan menghadiri sebanyak empat modul yang telah ditetapkan oleh pihak MACA.

Sementara itu, beliau memberitahu kewujudan program ini diharap akan menjadikan peserta sebagai pegawai integriti jabatan yang berpotensi memantau dan membasmi isu-isu berkaitan integriti, rasuah dan pelanggaran tata kelakuan organisasi di jabatan masing-masing.

“Mereka juga menjadi agen perubahan dalam mewujudkan iklim budaya kerja cemerlang yang menolak rasuah secara menyeluruh,” ujar beliau lagi.

Hadir sama pada seminar tersebut adalah Pengarah UNIONS, Adana Jed, Mantan Ketua Pengarah Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato’ Junipah Wandi. – EDISI UKAS

add comment