Lima Wakili Sarawak Ke Pertandingan Lagu Cina Peringkat Kebangsaan

SELASA, 19 JULAI 2022

MIRI: Seramai lima penyanyi akan mewakili Sarawak ke pertandingan lagu Cina peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 24 Julai ini di Menara PGRM, Dewan Wawasan Kuala Lumpur.

Mereka merupakan pemenang pertandingan lagu Cina ‘Cultures of China Water Cube Cup Chinese Song Contest’ anjuran Miri Harmony Cultural Society bertempat di Bintang Megamall New Wing, Miri pada 10 Julai lepas.

Pemenang tersebut ialah Sarah Hii Xiu Qi (Miri), Jackvin Chai Chang Wei (Kuching) dan Nicole Kung Tze Wee (Kuching) untuk Kategori Belia berumur 12 hingga 18 tahun.

Manakala dua lagi penyanyi ialah Christine Chua Yea En (Miri) dan Vivian Wong Tzuu Hsien (Miri) untuk Kategori Dewasa berumur 19 tahun ke atas.

Pada Ahad telah diadakan majlis penyerahan bendera kepada wakil Sarawak yang diadakan di Bintang Megamall New Wing, Miri.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Dato Sebastian Ting Chiew Yew.

Untuk rekod, juara dan naib juara pertandingan peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Beijing, China nanti. – EDISI UKAS

add comment