Mukah Tuan Rumah Pertandingan Seni Tarian Singa, Tarian Naga Dan Wushu Peringkat Sarawak

SELASA, 19 JULAI 2022

MUKAH: Buat julung kalinya, Mukah telah dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Seni Tarian Singa, Tarian Naga Dan Wushu Peringkat Sarawak 2022.

Kejohanan berlangsung dari 16 hingga 18 Julai di Dewan Suarah Mukah itu merupakan salah satu segmen sempena Hari Belia Negara 2022 peringkat Bahagian Mukah yang dijangka akan disambut pada awal Ogos 2022.

Ia telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu pada Ahad dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Dalam ucapannya, Dato Gerald memberitahu sukan tidak mengira kaum, agama dan bangsa seseorang namun yang penting adalah bakat, disiplin dan dedikasi dalam sesebuah sukan yang diceburi.

Ujarnya, ia harus disemai di peringkat umur kecil dengan sokongan penuh pelbagai pihak seperti ibu bapa dan juga guru.

Tambah beliau lagi, elemen penting dalam sukan adalah pembentukan sahsiah diri dan juga disiplin yang bakal menjadi jati diri seseorang sehingga besar kelak.

Dalam pada itu, Mukah telah berjaya meraih johan, naib johan dan tempat ketiga bagi kategori Tarian Singa 15 tahun ke bawah. – EDISI UKAS

add comment