Delegasi Sarawak Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas Konsulat Jeneral Malaysia Di Los Angeles

RABU, 20 JULAI 2022

KUCHING: Delegasi Kerajaan Sarawak ke bandar New York, Amerika Syarikat yang diketuai Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan sesi kunjungan kehormat ke atas Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles Anil Fahriza Adenan, bersama Konsul Muda Faidzul Shuib dan Konsul MATRADE Los Angeles Zuaziezie Zulkefli pada Isnin. 

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan tujuan dan objektif utama lawatan rasmi Kerajaan Sarawak di Amerika Syarikat bermula dari 16 hingga 22 Julai 2022 itu adalah untuk mempelajari pengurusan dan perancangan pesisir pantai (coastal management and development) dan pembaharuan bandar (urban renewal) di Los Angeles, Amerika Syarikat bagi penyediaan garis panduan dan polisi dasar pengurusan pesisir pantai serta perbaharuan bandar di Sarawak nanti.

Selain itu, Datuk Amar Awang Tengah juga berkongsi maklumat dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles berhubung inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030 melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS) 2030 yang berteraskan kepada struktur ekonomi, kemudahan perniagaan, sasaran perbelanjaan, mengoptimumkan aset dan modal insan, digital dan pelaksanaan, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Pada masa yang sama, pertemuan tersebut turut membincangkan potensi hubungan dan kerjasama Kerajaan Sarawak dan Amerika Syarikat dari aspek peluang pelaburan yang ditawarkan di Sarawak kepada pelabur asing. 

Jelas beliau, ini merangkumi pelaburan dalam sektor perkayuan, pelombongan, industri petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy).

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri & Pelaburan Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, Pegawai Kanan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.-EDISI UKAS

add comment