RABU, 20 JULAI 2022
SIBU: Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) mempunyai potensi yang besar untuk diangkat sebagai acara kebudayaan antarabangsa pada masa hadapan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian berkata BCF telah diperkenalkan secara rasminya pada tahun 2003 selepas pelbagai penampilan pertama yang berjaya iaitu Pesta Sibu, Sambutan Milenium dan Borneo Tribal Extravaganza.
Katanya, sejajar dengan usaha merancakkan sektor pelancongan, BCF dilihat sebagai acara paling ikonik dan kemuncak utama Kalendar Acara Pelancongan Sibu.
“Pelancongan merupakan sektor ekonomi yang penting kerana ia mampu mewujudkan pelbagai satu peluang pekerjaan dan menyediakan mata pencarian kepada berjuta-juta lagi di negara membangun dan maju.
“Sibu adalah sebuah bandar yang cukup bertuah kerana terletak secara geografi di pertemuan Sungai Rajang dan Igan.
“Selain itu, Sibu juga menyediakan hab penting yang terdiri daripada pusat ekonomi, kebudayaan dan pendidikan di wilayah tengah Sarawak,” katanya semasa merasmikan Pesta Kebudayaan Borneo 2022 di Dataran Tun Tuanku Bujang pada Selasa.
Menurut Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi, BCF ialah perayaan kebudayaan untuk memupuk rasa hormat dan keterbukaan dalam kalangan kepelbagaian etnik.
Paling mustahak ujarnya, ia adalah platform yang ideal untuk menyemai kecantikan dalam berbilang kaum untuk mewujudkan minat bersama dengan matlamat utama untuk menyatukan rakyat daripada komuniti yang berbeza.
Tambah beliau, keutamaan negara dan kerajaan negeri adalah untuk mewujudkan pemulihan yang mampan dan berdaya tahan selepas Covid-19.
Ujarnya, ia sangat penting untuk merancakkan semula ekonomi dan menjaga kemakmuran negeri dan rakyat untuk jangka panjang.
“Ia adalah acara pelancongan yang sangat baik untuk meningkatkan pemulihan ekonomi tempatan.
“Namun begitu, kita harus terus berganding bahu untuk memutuskan rantaian sebarang jangkitan penyakit,” tambah Dato Sri Prof. Dr Sim.
Dalam pada itu, Dato Sri Prof. Dr Sim berkata kementeriannya telah memperkenalkan Matlamat Pembangunan Mampan kepada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap majlis tempatan dapat memulakan lebih banyak inisiatif kepada komuniti selaras dengan visi Majlis ke arah bandar yang boleh didiami dan mampan menjelang 2031.
“Malah, Majlis Tempatan boleh meneruskan dasar dan amalan yang menggalakkan penggunaan dan pengeluaran mampan melalui persekitaran binaan, pendidikan dan kesedaran.
“Selain itu, Kementerian juga memudahkan semua Majlis untuk mendidik masyarakat tentang corak penggunaan makanan dan air yang lebih mampan, meminimumkan sisa dengan menjalankan program kitar semula dan pengkomposan sisa organik,” ujar beliau.
Majlis perasmian BCF kali ini dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan pelbagai etnik di negeri ini serta pameran pelbagai jenis hasil kraftangan dan seni.
Hadir sama memeriahkan majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Pelawan Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek, Senator Robert Lau Hui Yew dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.
Selain itu, ia turut dihadiri Puteri Solo Indonesia, Ancillasura Marina Sudjiwo dan Konsul Jeneral Republik Indonesia, Raden Sigit Witjaksono dan isterinya. – EDISI UKAS