Sarawak Beri Tumpuan Terhadap Kepentingan Penyelidikan Untuk Tingkatkan Ekonomi

RABU, 20 JULAI 2022

BANGI: Satu penyelidikan khusus berkaitan kepentingan alga atau lumut perlu dipertingkatkan dalam menjadikan penghasilan minyak bagi keperluan kapal terbang menjadi kenyataan. 

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, penyelidikan ini memerlukan proses teknologi terkini dalam menghasilkan minyak dari alga atau Sustainable Aviation Fuel (SAF). 

Beliau turut berkongsi bahawa ketika ini negara-negara jiran sedang melihat Malaysia dalam pengeluaran hidrogen dan beberapa sumber tenaga baharu. 

“Sesetengah negara mempunyai kekurangan ruang dan tenaga, tetapi mereka mempunyai bakat. 

“Jadi, mereka melihat potensi kita di Sarawak dan mahu mengadakan kerjasama. Ini kerana kita mempunyai ruang, tenaga serta bakat untuk menghasilkan sumber baharu yang diperlukan dunia hari ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan rasmi ke PETRONAS Research Sdn Bhd di Bangi, Selangor pada Rabu.

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, atas sebab itu Sarawak kini menumpukan lebih banyak kajian penyelidikan termasuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Kesihatan untuk keperluan tempatan dengan mengambil kesan pandemik COVID-19. 

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga memberitahu, beliau melihat kerjasama di antara PETRONAS dan Kerajaan Sarawak sudah tentu dapat menghasilkan pengeluaran mikro alga dan juga biofuel daripada Sarawak dan juga dari Kalimantan.

“Saya mengadakan kerjasama dengan Indonesia, Kalimantan mengenai stok karbon. 

“Satunya, pokok bakau menjadi stok karbon dan keduanya hutan bakau yang tiga kali ganda daripada pokok dan Pulau Borneo mempunyai banyak pokok bakau. 

“Sudah tentu kita akan mengadakan kerjasama dengan Indonesia dalam mengeluarkan pokok bakau dan dalam masa sama menguruskan habitat di hutan bakau,” ujar beliau lagi. 

Terdahulu, Premier Sarawak mengucapkan terima kasih di atas jemputan PETRONAS dalam melawat di PETRONAS Research Sdn Bhd di sini. 

Katanya, lawatan ini sudah pastinya mengeratkan lagi hubungan di antara PETRONAS dan Kerajaan Sarawak dalam bidang minyak dan gas dengan ketika ini bekerjsama dalam membuat kajian mengenai penghasilan hidrogen. 

“Sudah tentu ini akan mengeratkan lagi kerjasama di antara Sarawak dan juga PETRONAS.

“Ketika ini kita sudah menjalinkan kerjasama dari segi penggunaan hidrogen di mana PETRONAS telah berjaya dalam kajian untuk menghasilkan hidrogen.

“Ini sudah tentu dapat mengembangkan lagi bagaimana kita hendak menghasilkan hidrogen sebagai tenaga alternatif yang sangat dikehendaki dunia pada hari ini,” katanya. 

Dalam lawatan itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menyaksikan dua Perjanjian Persefahaman (MoU) dimeterai iaitu pertama, Perjanjian Membekalkan Elektroliser H2 untuk Stesen Minyak Darul Hana dan Batu Kawa di antara PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB) yang diwakili Bacho Pilong dan Dr. Mahpuzah Abai dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy Sdn Bhd yang diwakili Robert Hardin dan Abdul Hadi Datuk Kadir.

Manakala, MoU kedua iaitu Perjanjian Kerjasama Teknologi Bersama Minyak Boleh Diperbaharui di antara PETRONAS Research Sdn Bhd (PRSB) yang diwakili Bacho Pilong dan Dr Nasir Darman dan SEDC Energy pula diwakili Robert Hardin dan Abdul Hadi Datuk Kadir.

Selepas itu, Premier Sarawak telah melawat galeri PETRONAS dan diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Sdn Bhd YM Datuk Tengku Muhammad Taufik mengenai operasi dan peranan PETRONAS dalam industri minyak negara. 

Hadir sama Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Sdn Bhd YM Datuk Tengku Muhammad Taufik, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS Datuk Abdullah Saidol, Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain, Ahli Lembaga PETRONAS Dato Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazruddin Abdul Rahman dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak Datu Dr Muhamad Abdullah Zaidel.-EDISI UKAS

add comment