Datuk Amar Awang Tengah Ketuai Delegasi Kerajaan Sarawak Ke New York

KHAMIS, 21 JULAI 2022

NEW YORK: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak ke New York City, Amerika Syarikat pada Rabu.

Lawatan tersebut bertujuan mengadakan kunjungan hormat dan taklimat bersama Pengarah Antara Hal Ehwal Kerajaan United Nation Program Alam Sekitar (UNEP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamil Ahmad.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II memberitahu, antara objektif dan matlamat yang dicapai semasa lawatan rasmi itu adalah untuk mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan input mengenai pembaharuan bandar dan pembangunan pesisir pantai.

Selain itu katanya, ia adalah untuk memberi pemahaman dan pengetahuan bagi penyediaan dasar, garis panduan dan pengezonan guna tanah yang lebih komprehensif dalam perancangan pembangunan kawasan persisir pantai dan pembaharuan bandar.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kementeriannya turut bekerjasama erat dengan PBB di bawah UNDP melalui Projek Sarawak Biodiversity Masterplan yang mana kini di peringkat pelaksanaan dan Dasar Pembangunan Bandar Negeri dalam peringkat penilaian kertas cadangan.

“Inisiatif-inisiatif ini telah mendapat pujian dan penghargaan dari pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam mana Kerajaan Sarawak berpandangan jauh dan aspirasi untuk mentransformasikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 dengan perancangan pembangunan yang mampan dan lestari dari semua aspek,” katanya.

Turut sama dalam delegasi tersebut ialah  Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri & Pelaburan Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, Pegawai Kanan dari Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York Mohammed Lilya Omar.-EDISI UKAS

add comment