KHAMIS, 21 JULAI 2022.
SIBU: Masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini boleh hidup bersama dalam suasana yang rukun dan harmoni.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr. Annuar Rapaee berkata, masyarakat di Kampung Nangka menunjukkan contoh yang baik dalam mengekalkan perpaduan baik mereka yang beragama Islam mahupun Kristian.
“Inilah satu-satunya majlis yang dapat merapatkan masyarakat berbilang bangsa di bandar Sibu ini.
“Saya menyeru khusunya kepada kaum Melayu Melanau di bandar Sibu ini, di mana kita telah hidup bersama selama beratus tahun, contoh yang terbaik di Kampung Nangka di mana kaum Melayu Melanau dapat hidup bersama baiknya yang beragama Islam mahupun yang beragama Kristian.
“Tidak ada timbulnya perpecahan di kalangan kaum Melayu Melanau, tiada timbulnya satu pihak mengenepikan atau mengecilkan pihak lain.”
Beliau berkata demikian dalam perasmian Borneo Cultural Festival 2022 ‘Eratkan Perpaduan Dikalangan Pelbagai Kaum Di Sarawak’ bertempat di Dataran Tun Tuanku Bujang, Sibu pada Rabu.
Dalam pada itu, tambahnya, pihaknya akan terus bersama masyarakat tidak kira Cina, Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu di bandar Sibu bagi memastikan perpaduan terus terpelihara dan dipertahankan.
“Saya menyeru banyak lagi NGO’s yang memperjuangkan nasib kebudayaan masing-masing supaya melangkah satu tapak lagi supaya kita dapat mempereratkan lagi kerjasama baiknya dalam bidang perniagaan dan bidang ekonomi mahupun dalam bidang politik.
“Ketepikanlah perasaan yang mengatakan bahawa satu pihak mengenepikan pihak lain atau pihak satu lagi memperkecilkan pihak lain. Itu tidak wujud sama sekali di negeri Sarawak ini.
“Negeri Sarawak begitu terkenal dengan perpaduan yang berbilang bangsa, dan janganlah kita sesekali mewujudkan perasaan tersebut demi memporak porandakan situasi yang kita telah kekalkan selama ini,” ujarnya.-EDISI UKAS