Program Taklimat Penubuhan MIDS Langkah Bijak Kawal Penyalahgunaan Dadah

KHAMIS, 21 JULAI 2022

KOTA SAMARAHAN: Penubuhan Biro Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) kawasan penghulu bagi daerah Samarahan dan Asajaya merupakan satu langkah yang bijak dan harus diteruskan pada masa hadapan.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Stakan, Datuk Hamzah Brahim semasa berucap merasmikan program taklimat penubuhan MIDS tersebut di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Rabu.

Katanya, ia merupakan satu inisiatif yang murni oleh pihak kementerian untuk mengawal penyalahgunaan dadah sebelum merebak dan menjadi semakin parah.

Dalam masa sama tambah Datuk Hamzah, peranan pelbagai pihak khususnya daripada akar umbi melalui pemimpin komuniti dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga amat penting dalam memastikan setiap anggota komuniti khususnya generasi muda dan golongan belia tidak terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah.

“Saya menyeru kepada tuan, puan dan penghulu sekalian selaku pemimpin komuniti di kampung agar besikap proaktif dengan melaporkan sekiranya terdapat kegiatan yang mencurigakan di kampung kepada pihak berkuasa khususnya pihak polis dan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) supaya tindakan segera dapat diambil dalam membendung atau mengawal aktiviti yang tidak bermoral ini sebelum merebak dan merosakkan generasi muda kita.

“Setelah menerima watikah lantikan sebagai Pengerusi Biro MIDS kawasan penghulu ini, tuan-tuan haruslah mengaktifkan jawatankuasa One Stop Committee (OSC) di peringkat kampung agar perancangan aktiviti dan permohonan peruntukan dapat disalur.

“Kerjasama yang erat pihak pemimpin komuniti dan Pejabat Daerah selaku OSC di peringkat Daerah harus diterus juga kerana setiap pihak boleh berkerjasama dalam merangka pelan atau perancangan yang khusus bagi mengadakan program yang berbentuk pendidikan mahupun kesedaran dengan menerapkan tentang bahaya dadah dan akibat daripada pengambilan dadah kepada golongan muda dan belia,” katanya.

Untuk rekod, program taklimat anjuran OSC daerah Samarahan dan Asajaya di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) ini bertujuan mengukuhkan lagi peranan pemimpin komuniti di kampung melalui penghulu.

Turut hadir Pegawai Daerah Samarahan Anuar Daan dan Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat.-EDISI UKAS

add comment