Subis Kini Miliki Kedai Barangan Asas Dengan Harga Berpatutan

KHAMIS, 21 JULAI 2022

BEKENU: Kawasan Subis kini memiliki Kedai Barangan Asas 100 (BA100) pertama diusahakan oleh Koperasi Wanita Subis Berhad (KOWANISUBIS) yang terletak di Kampung Sulap Lada, Kelulit di sini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Komuniti Sarawak (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus memberitahu, ia adalah platform untuk golongan wanita membangunkan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Ini adalah satu langkah yang bijak untuk golongan wanita di negeri ini khususnya sekarang ini kita memfokuskan mengenai pembangunan ekonomi luar bandar jadi ini adalah platform kita,” katanya semasa berucap dalam pelancaran kedai tersebut pada Selasa.

Datuk Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu itu berkata, Kedai BA100 itu merupakan satu program bersepadu yang diperkenalkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam usaha untuk mengerakkan perniagaan koperasi terutama membantu dan menawarkan penjualan barangan asas dengan harga berpatutan.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah wakil Pemangku Pegawai Daerah Subis Dr James Jam Jolly, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sarawak Wan Azizan Wan Zainal Abidin, wakil Timbalan Presiden ANGKASA Lily Fauziah Adenan dan Pengerusi KOWANISUBIS Hadijah Sheikh Kassim.-EDISI UKAS

add comment