Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki Dilantik Sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak

JUMAAT, 22 JULAI 2022

KUCHING: Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian mengesahkan pelantikan tersebut menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak yang baharu,” katanya.

Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, 58, menggantikan Datuk Amar Jaul Samion yang telah bersara pada 30 Jun lepas.

Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) sejak 2018 dan pernah menggalas jawatan sebagai Pengarah Unit Perancang Negeri serta Pengarah Yayasan Sarawak.

Dilahirkan pada 29 September 1964, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Sains, Pembangunan Sumber Manusia (HRD) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sepanjang perkhidmatannya, beliau menerima beberapa anugerah negeri dan perkhidmatan awam termasuk anugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran Dato Sri pada Oktober 2019.

Selain itu, beliau turut dianugerah Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S), Pegawai Perkhidmatan Cemerlang (PPC), Pegawai Bintang Kenyalang (PBK), Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB), Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), Anugerah Perkhidmatan Lama dan Pingat Terpuji Jubli Emas (PTE). -EDISI UKAS

add comment