Generasi Muda Perlu Hargai, Hayati Perjuangan Pemimpin Terdahulu

SABTU, 23 JULAI 2022

BARAM: Generasi muda diingatkan untuk menghargai dan menghayati perjuangan pemimpin terdahulu yang telah membentuk wilayah Sarawak menjadi sebuah wilayah yang makmur dan aman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, generasi baru kini harus mengetahui sejarah sebenar agar tidak mudah diperalatkan oleh anasir luar.

“Tanpa pengetahuan yang betul mengenai sejarah juga boleh membawa kepada keadaan kucar-kacir dan apabila negara kucar-kacir, rakyat yang akan sengsara.

“Dengan kebijaksanaan pemimpin wilayah Sarawak ini, kita terus menikmati keamanan dan kemakmuran yang berterusan.

“Perpaduan merupakan aspek penting serta sikap toleransi perlu dipupuk dan disemai,” katanya semasa berucap dalam majlis penangguhan program acara berjalan kaki sempena sambutan Hari Sarawak di Perkarangan Pejabat Daerah Telang Usan pada Jumaat.

Seramai lebih 60 orang daripada pelbagai agensi kerajaan dan pelajar sekolah di sekitar Long Lama berhimpun di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Kee Tee Long Lama seawal jam 6.30 pagi untuk menyertai acara berkenaan.

Acara berjalan kaki yang mengambil masa kira-kira 35 minit itu bermula dari Pekan Long Lama menuju ke Pejabat Daerah Telang Usan.

Hadir sama, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Penghulu Cina Long Lama Desmond Yap,  Ketua Kaum Paul Paren, Kapitan Yeo dan Kaunselor Philip Yap.-EDISI UKAS

add comment