Hari Sarawak Titik Penyatuan Rakyat Sarawak, Realisasi Impian Jadi Negeri Maju Menjelang 2030

JUMAAT, 22 JULAI 2022

SIBU: Sambutan Hari Sarawak yang diraikan setiap tahun menjadi titik penyatuan rakyat dalam usaha merealisasikan impian menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, apa yang lebih penting ialah semangat seluruh rakyat Sarawak untuk memakmurkan negeri ini sesuai dengan tema sambutan ‘Sarawak Makmur’ dalam apa jua kapasiti dan peranan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.

Menurutnya, Sarawak amat bernasib baik dengan keberadaan tokoh seperti Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang terbukti berpandangan jauh dalam usaha untuk meletakkan Sarawak di persada pembangunan moden, lebih-lebih lagi dengan pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang dijana oleh kuasa hidro.

“Asas kukuh yang sudah terbina pada era Tun Pehin Sri Abdul Taib ke arah kelestarian sumber negeri ini jelas selari dengan tumpuan dunia pada masa ini ke arah dekarbonisasi dan ekonomi hijau.

“Sebagai pewaris kuasa mentadbir negeri ini, saya bagi pihak rakan-rakan dalam Kabinet ingin memberi jaminan bahawa kami akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan usaha membangunkan Sarawak sehingga menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya semasa berucap sempena Hari Sarawak 2022 di Stadium Tertutup Sibu di sini malam tadi.

Simbolik perasmian sambutan Hari Sarawak 2022 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir memeriahkan sambutan, isteri kepada Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak 2022, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri Kabinet Sarawak serta tetamu kehormat lain.

Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, signifikan sambutan Hari Sarawak pada tahun ini bertepatan dengan transisi kepada fasa endemik apabila mengadakan perayaan yang lebih besar untuk memperingati peristiwa bersejarah anak Sarawak diberi kuasa untuk mentadbir negeri sendiri genap 59 tahun lalu.

Jelas beliau, sejak 100 tahun pemerintahan keluarga Brooke, diikuti penaklukan oleh Jepun dan seterusnya penyerahan Sarawak kepada pentadbiran British, negeri ini tidak pernah mempunyai kerajaan yang ditadbir oleh anak Sarawak sendiri sebagai Ketua Kerajaan.

“Oleh itu, amat signifikan sekali tarikh 22 Julai 1963 diperingati sebagai titik permulaan Sarawak mempunyai kuasa untuk ditadbir oleh anak Sarawak sendiri apabila mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri pertama kerajaan Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS

add comment