Inisiatif Kerajaan Sarawak Pemangkin Perubahan Landskap Pembangunan Sibu

JUMAAT, 22 JULAI 2022

SIBU: Landskap pembangunan Sibu akan terus berubah dengan komitmen tinggi pentadbiran kerajaan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beberapa inisiatif yang diambil kerajaan pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi merealisasikan pembangunan itu.

“Kita dimaklumkan bahawa pembangunan Taman Bishan Ang Mo Kio di Singapura akan diguna pakai sebagai model pembangunan semula Bukit Assek yang memfokuskan kepada konsep pembangunan landskap bandar dan pengurusan air. Apabila siap nanti, sudah tentu ianya akan mengubah corak pembangunan di Bandar Sibu disamping menjadi satu mercu tanda yang baharu.

“Selain itu, pembangunan semula kawasan Bukit Assek di Sibu akan dilaksanakan walaupun terpaksa mengambil masa panjang untuk merealisasikannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan Hari Sarawak 2022 di Stadium Tertutup Sibu pada Jumaat.

Sambutan pada kali ini dirasmikan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dato Sri Fatimah juga mengimbas sumbangan besar Tun Pehin Sri Abdul Taib sejak menjadi Ketua Menteri.

“Sumbangan Tun Pehin Sri Abdul Taib terhadap pembangunan di Sarawak memang tidak ternilai banyaknya termasuk di Sibu melalui Falsafah dan Konsep Politik Pembangunan.

“Penubuhan University of Technology Sarawak di Sibu yang serba moden dan canggih adalah manifestasi agenda pendidikan pengajian tinggi yang dianggap penting di Kawasan Tengah Sarawak, bagi melengkapkan usaha awal melalui penubuhan Universiti Teknologi Swinburne di Kuching, dan Universiti Curtin in Miri. Ini merupakan satu pemberian pembangunan sumber manusia yang amat bermakna sekali kepada rakyat Sibu.

“Selain itu, jika kita renung kembali, Lapangan Terbang Sibu yang menjalani projek naik taraf dengan kos sebanyak RM130 juta, adalah antara sumbangan Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri, semasa menjadi Ketua Menteri kita.

“Ini menjadikan Sibu merupakan salah satu pusat perdagangan yang maju di Sarawak,” jelasnya.

Turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, menteri kabinet dan timbalan menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS

add comment