MA63 Tidak Boleh Diubah: Premier Sarawak

JUMAAT, 22 JULAI 2022

SIBU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh diubah dalam apa jua cara dan dalam apa jua bentuk.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perjanjian yang membawa kepada pembentukan Malaysia itu serta melibatkan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak memang tidak boleh diubah.

Tegas beliau, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan penting bagi memastikan hak-hak Sarawak akan dapat dikembalikan seperti dipersetujui dalam perjanjian.

“Apa yang telah dimasukkan oleh pemimpin Sarawak kita ketika itu sebagai peruntukan dalam perjanjian sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah apa yang mereka anggap perlu untuk melindungi hak dan kepentingan Sarawak dan rakyatnya pada zaman mereka, semasa kita dan selepas zaman kita.

“Sebagai contoh, hak kita seperti yang terkandung dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) jelas wujud sebelum 1963, tidak pernah dimansuhkan dan akan sentiasa dikuatkuasakan, dengan itu memberi kita kuasa ke atas sumber petroleum kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Hari Sarawak 2022 di Stadium Tertutup Sibu di sini malam tadi.

Simbolik perasmian sambutan Hari Sarawak 2022 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir memeriahkan sambutan, isteri kepada Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak 2022, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri Kabinet Sarawak serta tetamu kehormat lain.

Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, sebagai sebuah kerajaan yang dan berpandangan jauh dan bertanggungjawab memberi pengisian yang bermakna kepada kuasa self-government yang kita samasama raikan, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah merangka strategi untuk memulihkan ekonomi Sarawak pasca COVID-19 melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) 2030.

Katanya, PCDS 2030 bukan berasaskan kepada pemikiran di pihak kerajaan sahaja kerana pihak swasta dan korporat juga terlibat dalam penggubalannya menerusi Sarawak Economic Action Council (SEAC).

“PCDS 2030 telah memberi penekanan kepada pembangunan sektor-sektor ekonomi yang berpotensi tinggi dalam iklim ekonomi selepas COVID-19.

“Matlamat kelestarian pembangunan atau Sustainable Development Goals (SDG) di bawah kelolaan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Antara sektor yang diberi tumpuan ialah sektor pertanian dan pengeluaran makanan yang memenuhi standard antarabangsa untuk pasaran di luar Sarawak, termasuk melalui Singapura sebagai platform untuk menembusi pasaran serantau dan dunia,” katanya. -EDISI UKAS

add comment