Program ‘Malaysia Sports League’ Latih Masyarakat Berbudaya Sukan

SABTU, 23 JULAI 2022

KOTA SAMARAHAN: Program Malaysia Sports League (MSL) dilaksanakan bagi melatih masyarakat tempatan dalam pelaksanaan aktiviti sukan serta menggalakkan masyarakat berbudaya sukan. 

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan keharmonian dan perpaduan di kalangan komuniti setempat sekaligus meningkatkan kemahiran sukan dalam kalangan komuniti setempat khususnya di Sarawak.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau berkata, MSL merupakan program sukan yang berbentuk pertandingan dan dilaksanakan secara liga pada setiap hujung minggu yang melibatkan lima acara sukan iaitu bola haring, bola keranjang 3×3, sepak takraw, badminton berpasukan dan juga futsal.

“Sebenarnya program ini merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia & Sukan Negeri Sarawak dan ia diadakan di seluruh Malaysia.

“Pada pagi ini, pertandingan futsal adalah peringkat terakhir untuk MSL peringkat negeri di mana sebelum ini kita telah mengadakan empat kejohanan yang lain dan kebanyakannya dilaksanakan di UNIMAS,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Futsal ‘Malaysia Sports League’ Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Arena Tun Tuanku Bujang, UNIMAS pada Sabtu.

Program itu telah bermula sejak 19 Mac sehingga 22 Mei lepas dengan penglibatan seramai 9,911 orang dari seluruh bahagian.

Untuk rekod, sebanyak 23 pasukan kategori lelaki dan 21 pasukan kategori wanita telah menyertai Kejohanan Futsal MSL Peringkat Negeri Sarawak yang mewakili bahagian masing- masing. 

Johan bagi setiap kejohanan akan mewakili Sarawak ke ‘Malaysia Sports League’ Peringkat Kebangsaan pada 25 hingga 28 Ogos depan di Kompleks Sukan Sky Arena Kuala Lumpur. – EDISI UKAS

add comment