SABTU, 23 JULAI 2022
SARATOK: Sambutan Hari Sarawak 2022 Peringkat Saratok tidak kurang meriahnya menyaksikan penyertaan 18 kontinjen terdiri dari agensi kerajaan serta sekolah di Daerah Saratok yang mengambil bahagian dalam perbarisan sambutan Hari Sarawak.
Sambutan diadakan di Pentas Utama Sri Kalaka Saratok pada Sabtu itu dianjurkan oleh Persatuan Veteran Angkatan Malaysia Cawangan Saratok dan Pejabat Daerah Saratok Dengan dengan kerjasama Pusat Khidmat N38 Kalaka Dan Pusat Khidmat N39 Kalaka.
Ia telah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohamad Razi Sitam.
Hadir memeriahkan sambutan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok Datuk Abd Wahab Aziz, Pegawai Daerah Saratok Haron Mahidi, wakil Residen Betong Mahra Salleh dan Ketua-ketua Masyarakat Daerah Saratok.
Sambutan Hari Sarawak tahun ini yang bertemakan ‘Sarawak Makmur’ amat bermakna bagi penduduk di kawasan ini dalam meneruskan visi memajukan Sarawak sebagai negeri maju.
Malah ia menjadi landasan dalam mengingatkan generasi akan datang mengenai hak-hak Sarawak yang perlu dituntut dan dikekalkan serta perjuangan pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan negeri ini dari tangan penjajah Inggeris. – EDISI UKAS