Sarawak Jalin Kerjasama Dengan AS, Pelajari Pengurusan Perancangan Pesisir Pantai & Pembaharuan Bandar

SABTU, 23 JULAI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mempelajari pengurusan dan perancangan pesisir pantai dan pembaharuan bandar.

Sehubungan itu, delegasi kerajaan Sarawak ke New York, Amerika Syarikat yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau bersama rombongan telah menghadiri taklimat dan perbincangan teknikal berhubung perkara itu yang disampaikan oleh Pengarah Perancangan Iklim dan Kemampanan, Jabatan Perancangan Bandar New York Michael Marella pada Rabu.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak itu berkata, taklimat itu adalah berhubung perkongsian ilmu, pengalaman serta garis panduan dan polisi Jabatan Perancangan Bandar New York dalam mengurus tadbir bandar dari aspek proses perancangan, pengezonan guna tanah, termasuk di kawasan pesisir pantai, tebingan sungai dan pembaharuan bandar sekitar New York.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memaklumkan, kerajaan Sarawak menerusi kementeriannya itu kini bekerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Katanya, kerjasama ini akan membantu untuk mengemaskini polisi dasar pembaharuan bandar sediada iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Bandar Negeri Sarawak agar selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID Sarawak (PCDS) 2030 dan New Urban Agenda, UN Habitat di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini adalah dalam penyediaan Pelan Induk Biodiversiti Sarawak yang kini di peringkat perlaksanaan dan Dasar Pembangunan Bandar Negeri yang mana kini dalam penilaian kertas cadangan,”ujar beliau.

Sementara itu, pada sebelah tengah hari, delegasi Sarawak telah dijemput oleh Pewakilan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu New York, Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin ke majlis jamuan makan tengah hari di Pejabat Perwakilan tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York.

Turut hadir adalah para pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di New York, MIDA, MATRADE Malaysia di New York.-EDISI UKAS

add comment