Tempo Pembangunan Sarawak Terus Rancak & Berkesinambungan

SABTU, 23 JULAI 2022

SIBU: Tahap dan tempo pembangunan Sarawak terus bergerak rancak di seluruh pelusuk negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak 2022, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, momentum usaha itu jelas berkesinambungan dan kini landskap pembangunan Sarawak diteruskan dengan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Ujarnya pemilihan tema sambutan Hari Sarawak 2022 Sarawak Makmur amat signifikan mengambarkan keadaan itu.

“Tema ini dipilih bagi mengambarkan tahap dan tempo pembangunan Sarawak yang terus bergerak rancak di seluruh pelusuk tanahair merangkumi bandar, luar bandar, kawasan pedalaman, pesisiran, tanah datar dan tanah tinggi.

“Momentum ini jelas berkesinambungan sejak daripada usaha yang dimulakan oleh Datuk Stephen Kalong Ningkan, Datuk Penghulu Tawi Sli, Tun Abdul Rahman Yaakub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diikuti Allahyarham Tok Nan dan kini Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan Hari Sarawak 2022 di Stadium Tertutup Sibu pada malam tadi.

Sambutan pada kali ini dirasmikan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dato Sri Fatimah menambah, pembangunan info dan infrastruktur yang dibina untuk melonjakkan kualiti komunikasi dan hubungan dalam rangka meningkatkan kualiti taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar, sentiasa diimbangi dengan program pembangunan sumber manusia.

“Sebagai rakyat yang mengharapkan pembangunan dan kemakmuran yang menyeluruh, bersepadu dan mapan, sokongan dan kerjasama semua pemegang taruh adalah sangat penting bagi menjamin kestabilan politik, keharmonian sosio budaya, dan kelestarian aspirasi demi kelangsungan rakyat Sarawak yang berdigniti dan bermaruah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata, pengistiharan 22 Julai sebagai cuti umum pada 2016 oleh mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah memberikan impak politik, pentadbiran dan sosial yang sangat penting kepada rakyat Sarawak.

“Pengumuman Hari Sarawak telah menyedarkan Rakyat Sarawak tentang signifikan Sarawak sebagai satu entiti politik yang dapat menyatukan seluruh penduduk berbilang bangsa, suku kaum, budaya, agama dan bahasa.

“Selain itu, Hari Sarawak turut meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang pengorbanan serta sumbangan besar tokoh-tokoh dan pemimpin Sarawak yang terdahulu yang tidak ternilai harganya,” katanya.

Hadir sama pada sambutan Hari Sarawak 2022, isteri Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Amar Juma’ani Tuanku Haji Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS

add comment