ISNIN, 25 JULAI 2022
LIMBANG: Kebakaran yang berlaku pada 20 Julai lalu telah menyebabkan kediaman pasangan Mohd Alias, 75 tahun dan isterinya Timbang Abdullah, 67 tahun hangus dijilat api di Kampung Pandam.
Kejadian tersebut juga menyebabkan kedua-dua warga emas itu tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka disebabkan api marak dengan begitu pantas.
Prihatin dengan nasib yang dialami pasangan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah bersama Residen Bahagian Limbang Sebi Abang telah menziarahi dan menyampaikan bantuan kewangan serta bantuan bakul makanan kepada pasangan tersebut di Perkarangan Masjid Al-Kurnia Kampung Pandam di sini pada Sabtu.
Mohd Alias dan isteri sempat berkongsi detik-detik cemas ketika menghadapi kebakaran itu kepada Ahli Parlimen Limbang sehinggakan mereka tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka.
Dalam pada itu, pasangan tersebut juga menzahirkan ucapan terima kasih di atas sumbangan yang dihulurkan dalam meringankan beban mereka di mana ketika ini pasangan tersebut menumpang di rumah orang.
Turut sama Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Penghulu Dulahpi Bakar dan Ketua Kampung Pandam Abdul Rahman Said. -EDISI UKAS