Jangan Salah Guna Peruntukan Daripada Kerajaan

ISNIN, 25 JULAI 2022

LAWAS: Semua penerima peruntukan daripada kerajaan perlu menggunakan dengan sebaiknya untuk manfaat semua.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, para penerima peruntukan juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan dana yang diterima.

“Saya berharap agar semua jabatan dan agensi mahupun persatuan menggunakan agihan peruntukan yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Justeru, dengan adanya peruntukan yang ada ini maka mereka dapat meneruskan aktiviti yang sudah dirancangakan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Kerajaan dari Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) kepada 22 persatuan, kelab-kelab jabatan dan agensi di Hotel Seri Malaysia pada Sabtu.

Dalam majlis penyerahan tersebut, sebanyak RM220,000 jumlah peruntukan telah diagihkan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Lawas Laidin Atok, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Pengiran Hamzah, ketua dan wakil jabatan dan agensi daerah Lawas dan Limbang. – EDISI UKAS

add comment